“Saya Jadikan Menantu Saya Sebagai Contoh, Setiap 2 Jam Pasti Bangun Untuk Menyusu Anaknya” – Tegas Dato‘ Siti

BANGI: Seperti insan lain yang bergelar ibu, penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 39, tidak terkecuali menyimpan hasrat menyusu badan sepenuhnya anak yang bakal dilahirkan pada Mac depan.

Beliau yang kini hamil tujuh bulan turut meluahkan keterujaan melihat disiplin menantunya, Tya Ariffin, yang mengunci jam bagi memastikan diri menepati tempoh masa untuk menyusukan anak, Arif Jiwa.

  

“Memandangkan Tya tinggal bersama kami, saya menjadikan dirinya contoh. Setiap dua jam, pasti dia tidak terlepas menyusu badan anaknya.

.

“Oleh itu, saya juga berazam menggunakan pendekatan sama apabila bersalin nanti.

.

“Bagaimanapun, semua itu hanya perancangan saya. Insya-Allah, sekiranya dipermudahkan dan ada rezeki nanti, pasti saya juga tidak mahu terlepas detik indah itu,” katanya.

Siti berkata demikian sewaktu berkongsi mengenai perkembangan terbaru kehamilannya ketika ditemui pada majlis pembukaan cawangan Jakel dan Ariani di sini.

Sementara itu, Siti juga sempat memberi kata-kata semangat kepada pasangan yang belum dikurniakan rezeki menimang cahaya mata.

Katanya, mereka tidak boleh berputus harap, sebaliknya meneruskan usaha dan berdoa kepada Allah SWT.

“Ketika mengalami keguguran dulu, saya tidak menangis kerana akur dengan ketentuan-Nya. Bagi saya, Allah akan memberi rezeki pada masa yang tepat kerana Dia lebih mengetahui.

.

“Walaupun saya kini hamil dengan rawatan IVF (Rawatan Kesuburan In Vitro), ini adalah rezeki terbaik daripada Allah selepas saya tidak putus berdoa sejak 11 tahun lalu. Oleh itu, mereka di luar sana jangan berputus asa kerana Allah sentiasa mendengar permintaan kita,” katanya.

 

Penyanyi Comel Pipi Merah itu berkahwin dengan ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, pada 21 Ogos 2006.

Sumber : BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *